IKAN PUYU
KAN PUYU
Nilai ikan puyu kacukan
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanterengganu@utusan.com.my
MOHD. Nizam (kiri) dan Mohd. Asri Mahadzir menunjukkan telur ikan puyu dalam tangki di Felda Jengka 12, Maran, Pahang.
MARAN 20 April - Dalam kategori ikan air tawar, puyu atau betuk tidaklah sehebat ikan patin, kelah atau temoleh dari segi 'kegilaan' kaki pancing.
Ikan yang sering ditemui di sungai dan parit itu dianggap kurang berharga dan tidak menjadi rebutan di kalangan penggemar ikan darat.Namun tidak ramai yang tahu bahawa ikan puyu atau nama saintifiknya, Anabas Testudineus mempunyai nilai yang tinggi jika dapat diternak dalam bentuk komersial.
Ikan puyu kini semakin mendapat perhatian selepas beberapa usaha dijalankan untuk mengeluarkan hasil yang lebih bermutu. Maka tidak hairanlah ada ikan puyu yang dijual di sini berharga sehingga RM20 sekilogram berikutan saiznya yang lebih besar selain rasa yang lebih enak selepas beberapa eksperimen dijalankan. Semua itu dihasilkan selepas penubuhan pusat pembenihan ikan air tawar milik peneroka Felda Melor Jengka 12 di Bandar Jengka di sini sejak tiga tahun lalu.
Pusat pembenihan itu dikendali oleh Syarikat Khazanah Danau Rimba Enterprise (Khazanah Danau Rimba) yang dimiliki oleh peneroka Felda kawasan tersebut. Pengurus Kanan Khazanah Danau Rimba, Zainal Abidin Mansor berkata, tumpuan projek lebih kepada penternakan ikan puyu kerana ternakan itu berpotensi besar untuk dikomersialkan.
Menurutnya, ikan puyu yang sering ditemui di kawasan sawah padi, parit dan sungai mempunyai keistimewaan tersendiri walaupun spesies itu seolah-olah kurang dipedulikan berbanding keli, sepat siam dan haruan.
Katanya, kebarangkalian pupusnya spesies ikan puyu mendorongnya menubuhkan sebuah syarikat pembenihan bagi menghasilkan benih ikan puyu secara komersial di samping menganjurkan kursus jangka pendek menternak ikan itu.''Felda menyediakan sebuah bangunan di kawasan seluas kira-kira tiga hektar di Felda Melor Jengka 12 untuk menjayakan projek penternakan dan pembenihan ikan puyu malah dijadikan lokasi tempat berkursus kepada peserta,'' katanya.
0 komentar:
Posting Komentar